Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Januari. – Peristiwa Israk dan Mikraj bukan sekadar kisah perjalanan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, ia merupakan peristiwa pensyariatan sembahyang, satu-satunya ibadah yang difardukan secara langsung oleh Allah Subhanahu Wata'ala tanpa perantaraan wahyu di bumi.
Jika ibadah lain disyariatkan di bumi, sembahyang difardukan di Sidratulmuntaha.
Ceramah Khas bertajuk 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' itu disampaikan oleh Penolong Profesor, Dekan Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Norashibah binti Haji Besar, yang turut menyentuh hikmah-hikmah lain yang terkandung dalam peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Turut diperjelaskan dalam konteks kehidupan serba moden yang berhadapan dengan tekanan, stres, cabaran moral dan krisis nilai, penghayatan makna spiritual Israk Mikraj melalui sembahyang amat penting agar manusia tidak terputus hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala.
Ceramah khas ini merupakan kemuncak acara Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Kementerian Pendidikan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Dewan Utama, kementerian berkenaan petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Pegawai Pendidikan, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Awang Ahmad Busyra bin Haji Matzain.
Acara yang dikendalikan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum dan Urus Setia Majlis Pelajaran Kebangsaan ini merupakan salah satu aktiviti tahunan kementerian dalam memperingati dan menyemarakkan sambutan hari-hari kebesaran Islam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.
Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha-setiausaha Tetap; Naib-naib Canselor; Rektor; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan; pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pendidikan.